Merangsang Pokok Cili Agar Berbunga Dan Berbuah Semula

Saya ada menanam beberapa pokok cili yang terdiri daripada pokok cili putih Sabah, cili padi dan cili merah besar. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman menanam pokok cili ini secara skala kebun dapur (hobi).

Salah satu pokok cili yang saya tanam sudah berusia hampir 5 bulan dan sudah tiga kali mengeluarkan buah. Hasil daripada buahnya boleh dibanggakan juga walaupun tidaklah banyak seperti yang ditanam secara komersial.

Buah cili semakin hijau dan subur.

Hasilnya tuaian cukup untuk stok 2 minggu. Belanja dapur sedikit sebanyak dapat dijimatkan.

Daun Mengering Dan Gugur

Apa yang saya ingin kongsikan selepas memetik hasil yang kali ketiga, saya cuba mencari cara untuk merangsang pokok untuk berbunga dan berbuah dengan lebih lebat lagi seperti sebelumnya (tuaian pertama).

Dengan memberikan baja sahaja secara konsisten, bunga dan putik buah memang muncul tetapi kuantitinya agak sedikit. Selkain itu, pokok mengalami kekurangan nutrisi kerana daun gugur kerrana cabang yang pernah berbuah mula mengering. 

Lama-kelamaan, baja yang diberi tidak mendatangkan manfaat kepada pokok. Sia-sia sahaja dan membazir.

Potong Dahan. Tiada Pilihan Lain

Tiada pilihan lain saya cuba dengan memotong cabang atau dahan yang pernah berbuah seperti yang saya kongsikan dalam video di bawah.


Pembajaan secara konsisten menggunakan baja buah keluaran Agro Farm memang dijadikan rutin. Bila musim hujan, kekerapan memberi baja dari 2 minggu sekali saya tukar kepada seminggu sekali.

Selepas hampir 2 minggu, pokok mula menunjukkan kesannya.

Pucuk-pucuk baru lebih banyak keluar dan diikuti dengan bunganya sekali berbanding sebelumnya. Semakin hari semakin banyak bunga. Mungkin disebabkan proses fotosintesis sudah kembali normal. 

Maka bunga yang muncul kebanyakannya menjadi buah dengan bantuan kelulut yang hadir sebagai agen pendebungaan secara semulajadi.

Contoh bekas dahan yang pernah berbuah yang dibuang.

Memang agak jauh berbeza kuantiti bunga dan buah yang dihasilkan sebelum dan selepas dipotong dahan yang pernah berbuah. Mula-mula agak risau juga kerana ini kali pertama saya melakukannya.

Percubaan saya membuahkan hasil.

Kawalan Perosak Secara Organik

Cuma pada peringkat ini, sementara menunggu buah matang saya perlu membuat kawalan serangga perosak menggunakan Organic Garden Neem Oil. Semburan dibuat secara konsisten sebanyak dua kali seminggu walaupun tiada kehadiran serangga perosak. Ia menjadikan pokok imun kepada penyakit.

Kali ini saya sangat bersyukur kerana sepanjang menanam pokok cili, tidak kelihatan lalat buat yang sering menyerang buah cili sehingga buahnya rosak dan berulat.

Masalah pada akar dan media tanam pun tiada.

Perangkap atau pelekat kuning seperti di dalam video hanyalah sebagai indikator untuk mengetahui jenis serangga yang datang ke pokok.

Dikemaskini: 22/12/2024 19:04

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama